Saturday 9 November 2013

HALANGAN / CABARAN / MASALAH YANG DIHADAPI SEBELUM DAN SELEPAS MEMULAKAN PERNIAGAAN FRANCAIS


1.      Modal yang diperlukan amat tinggi.
Kos untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dan bantuan dari francaisor adalah tinggi dan francaisi perlu membayar kos-kos seperti Yuran Francais – Yuran francais adalah dalam satu jumlah yang besar dan tidak dikembalikan. Francaisi juga perlu membayar kos sewa, deposit, pembelian aset dan pengubahsuaian kedai ;Royalti Bulanan – Royalti dibayar mengikut peratus jualan bulanan. Francaisi perlu membayar royalti walaupun tidak memperolehi keuntungan, walaupun francaisor tidak membantu perniagaan francaisi kerana francaisi menggunakan jenama francaisor tersebut. Di Malaysia, terdapat isu berkenaan bayaran royalti ini di mana agensi kerajaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS) (badan bertindak untuk francais Malaysia) mengarahkan supaya pembayaran royalti tidak lebih dari 5% jumlah jualan bulanan francaisi. ; Yuran Iklan – Yuran iklan yang dibayar digunakan oleh francaisor untuk mengiklankan jenama produk atau perkhidmatan dan untuk menarik lebih ramai francaisi. Tetapi ianya mungkin tidak mempromosikan perniagaan francaisi tersebut.
Tambahan, pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini.
2.      Tidak memberi kebebasan kepada francaisi.
Untuk menjaga keseramanan, francaisor akan mengawal perniagaan francaisi. Kadang-kala, tindakan ini menghalang francaisi untuk bebas berniaga. Berikut adalah beberapa perkara berkaitan perjanjian francais:
  • Pemilihan Lokasi  – Francaisor akan memilih lokasi yang difikirkan sesuai dengan perniagaannya dan lokasi tersebut mungkin tidak sesuai dari sudut pandangan francaisi. Di dalam banyak kes, francaisi akan mencadangkan lokasi kepada francaisor. Francaisor akan melawat lokasi tersebut dan memberi pendapatnya samaada sesuai atau tidak. Jika tidak, Francaisor akan membantu mencari kawasan yang difikirkan strategik.
  • Hiasan Dalaman & Konsep Perniagaan – Terdapat francaisor yang akan menukar hiasan dalaman dan konsep perniagaan mengikut musim. Jadi, kos renovasi dan pengubahsuaian tersebut mungkin tidak mampu untuk ditanggung oleh francaisi. Kebiasaanya, francaisor akan selalu menukar konsep perniagaan, uniform & sistem komputer.
  • Kawalan Penjualan Produk dan Perkhidmatan – Francaisor akan mengawal setiap produk dan perkhidmatan perniagaan francaisi. Jadi, francaisi tidak boleh menjual produk / perkhidmatan selain daripada francaisor. Ada juga kes dimana francaisor menghadkan bilangan stok yang dijual. Misalnya baju saiz S, francaisor hanya membekalkan 10 helai sahaja. Apabila baju tersebut habis, francaisi menempah dari francaisor tapi francaisor tidak memberi stok yang diminta. Apabila berlaku kes sedemikian, francaisi boleh cuba minta stok dari francaisi lain. Pastikan juga francaisor membenarkan anda mengambil stok dari francaisi lain. Kes seperti ini tidak dinyatakan dalam perjanjian francais. Jadi, francaisi perlu berhati-hati.
  • Kawalan Dalam Menggendalikan Operasi Perniagaan – Francaisor mengawal waktu operasi perniagaan, uniform pekerja, iklan serta promosi dan juga prosedur perniagaan. Harga jualan juga dikawal sehingga francaisi tidak dapat memberi diskaun kepada pelanggan. Pengedar juga perlulah dari pengedar yang diluluskan oleh francaisor, walaupun francaisi boleh mendapatkan barang dari pengedar yang lebih murah. Dicadangkan agar francaisi mencari francaisor yang memberi ruang untuk kemukakan idea francaisi sendiri dan memberi kebebasan untuk francaisi berniaga demi perniagaan mereka.
  • Kawalan ke atas Hak Wilayah (Territorial Rights) – Kawalan ini untuk menggelak daripada bersaing dengan francaisi lain. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghalang francaisi membuka cawangan lain atau berpindah ke lokasi lain. Francaisor juga ada hak untuk menghalang francaisi membuat website sendiri.

3.      Pemilihan Francaisor perlu dilakukan dengan teliti.
Kelemahan akta dan peraturan sedia ada menjadi duri dalam daging kepada pembangunan industri francais di Malaysia dan perlu dicungkil segera supaya tidak menjejaskan kemajuannya.Kelemahan-kelemahan yang ada telah memburukkan imej sistem francais sehingga dilihat sebagai sistem yang menipu dan banyak pihak yang tertipu terutamanya usahawan baharu, kata sebuah syarikat perunding francais tempatan.  Keadaan berkenaan timbul kerana ketiadaan dokumen zahir atau prospektus disediakan untuk membolehkan pemohon (bakal francaisi) mengetahui maklumat terperinci tentang francaisor dan produknya.Apa yang berlaku sekarang, perkara tersebut dipandang ringan serta ketiadaan garis panduan khas disediakan kerajaan menyebabkan penyediaan prospektus dilakukan secara sambil lewa dan bakal mengundang masalah. Permasalahan ini menyebabkan sistem francais dipalitkan dengan kecaman-kecaman yang negatif sehingga membantutkan usaha untuk mengembangkan sistem berkenaan.Perlu ada prospektus yang lengkap untuk memberikan penerangan sejelas-jelasnya kepada francaisi tentang latar belakang francaisor, prestasi kewangan, status perundangan, potensi francais dan beberapa maklumat lagi.Jika semua maklumat ini tidak didedahkan, maka timbul masalah seperti francaisi tertipu dan mengalami kerugian selepas memeterai perjanjian francais,’’ kata beliau kepada Utusan Malaysia. Berdasarkan Akta Francais, prospektus perlu diserahkan 10 hari sebelum menandatangani dokumen dan tujuh hari waktu bekerja ditetapkan untuk masa menunggu sebelum proses disahkan.Sikap buruk usahawan atau bakal francaisi pula adalah tidak mahu membaca terma perjanjian terlebih dahulu dan pada masa yang sama pihak francaisor juga tidak memberikan penerangan secara terperinci tentangnya.Oleh itu, apabila timbul masalah, kedua-dua pihak akan saling menuding jari dan akhirnya yang dipersalahkan adalah sistem francais itu sendiri.
Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak.Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun.Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri.Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaannya.
4.      Perlu komitmen yang tinggi daripada francaisi.
Masalah-masalah itu berlaku akibat francaisi tidak mempunyai pengetahuan dan persediaan yang cukup melibatkan diri dalam perniagaan berkenaan.Kegagalan berlaku berpunca daripada sikap francaisi yang terlalu bergantung kepada francaisor sedangkan untuk berjaya dalam industri itu bukan mudah.  Francaisi bukan sahaja sekadar mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal semata-mata sebaliknya perlu belajar dan memahami selok-belok perniagaan yang bakal diceburi.Francaisi perlu memenuhi pengetahuan dari aspek kewangan, simpanan, komitmen, kemampuan dari mental dan fizikal, memiliki kepercayaan kepada produk serta sentiasa menjalankan penyelidikan.
5.      Penjualan produk yang ditetapkan sahaja.
Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan inovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.


6.      Penamatan dan pembaharuan kontrak
Kontrak francais akan tamat sekiranya francaisi melanggar perjanjian francais. Kontrak ini sah untuk tempoh masa yang telah dipersetujui; tiada jaminan atas pembaharuan kontrak.  Penamatan Kontrak – Francaisor boleh menamatkan kontrak sekiranya francaisi gagal membayar royalti, gagal menunjukkan prestasi yang menguntungkan dan lain-lain sebab yang munasabah. Segala pelaburan francaisiakan hilang apabila kontrak tamat. Di Malaysia, setiap perjanjian francais adalah untuk 5 tahun. Adalah dinasihatkan francaisi untuk memastikan pulangan modal francaisi tidak sampai 5 tahun.Maksudnya, dalam tempuh 5 tahun pastikan anda mendapat semula pelaburan anda.
Pembaharuan Kontrak – Pembaharuan kontrak tidak berlaku secara otomatik. Segala terma dan syarat mungkin akan berubah. Antaranya kenaikkan kadar bayaran royalti, membuat pengubahsuaian kedai, menggurangkan hak wilayah dan kawalan atas jualan. Semua pembaharuan ini berkemungkinan untuk memberi peluang kepada francaisi lain.

CADANGAN MENGELAKKAN HALANGAN / CABARAN / MASALAH YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI
Ramai beranggapan bahawa perniagaan francais merupakan cara termudah untuk memulakan perniagaan, pasti menguntungkan, jenama terkenal, mendapat latihan mantap dari francaisor, dan sebagainya. Sebenarnya apabila seseorang usahawan telah terlibat secara langsung dengan perniagaan francais barulah mereka akan merasai baik buruk perniagaan ini.
Sebelum memilih untuk menjadi francaisi sesuatu sistem perniagaan francais, amat wajar sekiranya para usahawan meneliti perkara-perkara berikut. Kegagalan untuk mematuhi satu daripada perkara-perkra berikut akan menyebabkan kegagalan malahan ianya juga boleh mengakibatkan bankrap.
1.      Kekangan kewangan untuk memulakan perniagaan francais
Sepertimana yang diketahui bahawa modal bagi memulakan sesuatu perniagaan francais adalah besar.Oleh itu, tidak semua orang mampu untuk menjalankan perniagaan ini walaupun mampu memberi pulangan yang lumayan. Disamping berbekalkan  modal permulaan dengan menggunakan wang daripada simpanan bakal usahawan, terdapat juga sumber kewangan yang boleh diperolehi melalui pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang dilantik secara khusus ataupun tidak untuk mengembangkan sistem perniagaan francais, antaranya yang paling rapat dengan perniagaan ini adalah Pemodalan Nasional Berhad (PNS) iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).
KPDNKK telah ditubuhkan pada 27 Oktober 1990 bermatlamat untuk menggalakkan pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika dan melindungi kepentingan pengguna.Pada tahun 2009, peranan dan fungsi kementerian telah diperluaskan untuk merangkumi sektor francais dan koperasi.
Salah satu agensi di bawah KPDNKK yang terlibat secara langsung dengan perniagaan francais adalah PNS.Peranan PNS adalah untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.PNS mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakaran dalam memberikan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti PNS juga berperanan di dalam mempelopori dan menerajui pertumbuhan industri francais negara demi merealisasikan matlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang perniagaan francais. Salah satu objektif utama PNS adalah untuk membangunkan produk tempatan dan mengembangkannya ke luar negara.PNS juga menyediakan khidmat nasihat dan skim-skim khas bagi francaisor dan francaisi serta mengalu-alukan rakan francais ke Malaysia.
Di bawah PNS terdapat beberapa skim pembiayaan pinjaman bagi perniagaan francais yang boleh dimanfaatkan oleh bakal-bakal francaisi antaranya adalah Skim Pembiayaan Francaisi dan Skim Pembiayaan Eksekutif dengan saiz pinjaman sehingga RM1 juta.
Dalam pada itu, terdapat banyak agensi kerajaan yang turut menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman secara tidak langsung untuk memula dan mengembangkan lagi perniagaan francais antaranya, SME Bank, Majlis Amanah Rakrat (MARA), Tabung Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN), dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
2.      Pemilihan francais yang baik
Panduan kepada usahawan untuk memilih perniagaan francais adalah sebelum mengambil keputusan untuk memilih sesuatu perniagaan francais, beberapa perkara perlu diambil kira dan dipertimbangkan supaya pemilihan yang dilakukan adalah tepat dan seterusnya boleh menguntungkan francaisi dalam jangka panjang. Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan adalah seperti berikut :- 
Jenis PerniagaanBakal francaisi perlu menentukan apakah jenis perniagaan yang ingin diceburi dan pilih jenis perniagaan yang sesuai dengan minat dan kemahiran yang ada.
Kadar Kejayaan Perniagaan Francais - Perniagaan francais yang telah terbukti mempunyai peratusan kadar kejayaan yang tinggi akan memberi peluang terbaik untuk francaisi turut berjaya dalam perniagaannya.
Kadar Pertumbuhan Perniagaan - Kadar pertumbuhan perniagaan boleh diukur dengan bilangan ‘outlet’ yang telah dibuka oleh francaisor tersebut. Ia merupakan petunjuk yang baik untuk menilai keuntungan dan potensi peluang francais yang disediakan oleh francaisor.
Keuntungan Syarikat - Kedudukan kewangan syarikat francais boleh dilihat dari laporan tahunan yang dikeluarkan. Syarikat yang menunjukkan keuntungan yang tinggi dan berterusan memberi jaminan bahawa francaisi akan mendapat sokongan berterusan.
Pengalaman Perniagaan - Untuk meminimakan risiko pelaburan, perniagaan francais yang hendak dipilih perlu mempunyai rekod kejayaan dan pertumbuhan yang baik untuk beberapa tahun.
Saiz Sistem Rangkaian - Syarikat francais yang mempunyai saiz sistem rangkaian yang besar dan bersistematik boleh memberi kebaikan dari segi ekonomi bidangan (belian stok, iklan dan lain-lain).
Kedudukan Syarikat Dalam Industri - Pilih syarikat yang menjadi ‘leader’ dalam industri tertentu supaya perniagaan boleh terus bertahan walau dalam keadaan ekonomi yang tidak baik.
Bantuan Pemilihan Tapak Premis - Francaisor yang bertanggungjawab biasanya akan membantu francaisi dalam proses pemilihan tapak premis/outlet. Dengan pengalaman yang dimilikinya, francaisor tentunya akan mendapatkan tapak di tempat yang strategik sesuai dengan jenis perniagaan.
Rekabentuk Dan Hiasan Dalam Outlet - Francaisor yang bertanggungjawab juga akan membekalkan kemudahan dan bantuan dalam menyediakan rekabentuk dan hiasan dalam outlet untuk memastikan bahawa outlet francaisi adalah seragam dengan konsep francais keseluruhannya.
Latihan - Lebih lengkap pakej latihan francais maka lebih cerah peluang untuk berjaya dalam perniagaan francais. 
Sokongan Berterusan - Sokongan yang berterusan terutama dalam aspek teknikal dan operasi dari pihak francaisor amat penting dalam perniagaan francais.
Hak Eksklusif Wilayah - Pihak francaisor perlu menentukan hak kewilayahan kepada setiap francaisi supaya tidak timbul masalah persaingan di antara sesama perniagaan francais di dalam wilayah yang sama. Saiz wilayah tersebut bergantung kepada kepadatan penduduk, demografi dan bilangan pelanggan yang diperlukan oleh francaisi untuk menyokong perniagaan outletnya.
Perjanjian Francais - Sebelum menandatangani sesuatu perjanjian francais, pastikan bahawa perjanjian tersebut disemak terlebih dahulu dengan terperinci. Langkah yang paling baik ialah dengan menyemaknya dengan Peguam yang pakar dalam bidang francais.
Pengesahan Syarikat - Sebelum bersetuju untuk menandatangani perjanjian dan membayar yuran francais, pastikan dahulu bahawa syarikat francais tersebut adalah syarikat yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang. Buat semakan di pejabat Pendaftaran atau dari sumber lain seperti buku dan majalah perniagaan serta teliti dokumen penzahiran syarikat tersebut.
Yuran Francais - Pastikan terlebih dahulu bahawa yuran francais yang dikenakan seharusnya sepadan dengan apa yang bakal diterima dari perjanjian francais dan perniagaan yang bakal dijalankan. 
Bantuan Kewangan - ‘Start-up’ kos untuk perniagaan francais biasanya adalah tinggi. Ia termasuk yuran francais, sewa premis dan peralatan, bekalan dan stok dan lain-lain perbelanjaan. Jika francaisor tersebut benar-benar ingin melihat kejayaan francaisinya, seharusnya ia membantu francaisi dari segi kewangan seperti penyewaan peralatan, membekalkan stok perniagaan dnegan cara kredit dan lain-lain.
3.      Selidik sistem pembekalan barangan francaisor.
Perlu diingati tujuan menjadi francaisi ialah untuk memanfaatkan kuasa beli atau "economic of scale".Maksudnya, sesuatu sistem francais yang besar dan mempunyai ramai francaisi sudah pastinya mampu membekalkan barangan pada harga yang lebih murah daripada pembekal lain diluar.
Buat sedikit penyelidikan, bandingkan harga yang ditawarkan untuk 10 jenis produk mereka, bandingkan dengan produk yang sama daripada pembekal luar. Jika harga daripada francaisor ini lebih tinggi, lipakan sahaja francais tersebut. Jika francaisor ini sendiri gagal membekalkan pada harga yang kompetitif, maknanya ia tidak mendapat MARGIN keuntungan yang kompetitif di pasaran. Juga perlu diingati, bakal francaisiakan bersaing dengan banyak lagi peniaga yang memperolehi bekalan daripada pembekal-pembekal luar. Adakah bakal francaisi mampu bersaing nanti?
Terdapat juga francaisor yang sanggup mengenakan harga lebih tinggi daripada pembekal lain dipasaran, bermakna francaisor ini hanya mementingkan keuntungan mereka semata-mata. Adakah bakal usahawan ingin bernaung dibawah francaisor yang sebegini?
4.      Kebebasan menguruskan stok

Masih lagi berkitar tentang sistem stok dan pembekalan. Bakal francaisi perlu melakukan kaji selidik tentang adakah francaisidiwajibkan mengambil apa sahaja stok yang dibekalkan oleh francaisor itu sendiri tanpa kebebasan daripada pihak francaisi untuk memilih sendiri stok dan jenis barangan yang ingin diletakkan di kedai francaisi (ini lebih kepada sistem francais peruncitan) Adakah francaisi perlu membuat pembayaran penuh sebaik sahaja barangan masuk ke kedai mereka?Adakah terdapat pilihan untuk francaisi memulangkan semua barangan tersebut kepada francaisor jika mereka gagal menjual barangan tersebut?Sekiranya terdapat jawapan TIDAK pada mana-mana persoalan diatas, sebaiknya bakal francaisi melupakan sahaja francais tersebut. Realitinya, kebanyakan francaisor di Malaysia hanya berminat untuk menjual barangan mereka pada francaisi, dan dapat menyelamatkan margin keuntungan mereka tanpa mengambil risiko sama ada barangan tersebut dapat dijual atau tidak oleh francaisi. Kebiasaan berlaku, francaisi dijadikan "dumping ground" atau maksudnya tempat "pembuangan" barangan yang tidak mendapat sambutan daripada pelanggan di outlet-outlet francaisor kepada francaisi. Inilah realiti sistem francais di Malaysia, oleh itu bakal francaisi jangan  terpedaya jika terdapat francaisor memberi mereka kredit kerana francaisiakan berhutang sampai bila-bila (akibat daripada barangan tidak laku) dan kebanyakan francaisor mengenakan caj antara 1-1.5% setiap bulan.

2 comments:

  1. Askum,

    Boleh bagi sedikit pandangan tentang francais FnB seperti Daily Fresh, Nelson's, Coolblog dsb. Adakah risikonya lebih tinggi seperti yang diterangkan di atas?

    TQ

    ReplyDelete
  2. The Buffet At Wynn Las Vegas - MapyRO
    Wynn 군산 출장샵 Las 충청북도 출장샵 Vegas. 거제 출장안마 1290 Las Vegas Blvd. S, Las Vegas, NV 89109. star. Rates from $38. Rating 서산 출장마사지 star/10 · ‎1,811 목포 출장마사지 reviews

    ReplyDelete